JellyPages.com

Ahad, 14 April 2013

Maafku Pinta



Maafku Pinta
“Sayang, abang minta maaf. Semoga roh sayang akan sentiasa dicucuri rahmat.” Kataku dalam sebak. Ah, rindunya aku terhadap dia. Dia yang setulusnya mencintaiku. Mencintaiku kerana Allah walaupun tidak saling mengenal. Balqis. Cantik namanya secantik orangnya. Dia wanita solehah. Kini sudah 3 bulan dia pergi meninggalkan aku. Pergi yang tidak akan mungkin kembali lagi. Semuanya berpunca dariku. Aku puncanya...Ya, aku punca mengapa dia pergi meninggalkanku.....Biarlah aku bercerita.....Semuanya bermula apabila pertemuan aku dan dia dirancang oleh orang tuaku..........
            Pada mulanya aku memang marah dan tidak berpuas hati dengan tindakan mama dan papa untuk menyatukan aku dan Balqis. Malah aku pernah memberi amaran pada Balqis agar menyuruh orang tuanya membatalkan sahaja rancangan untuk menyatukan kami. Aku langsung tidak mengenali Balqis, malah mencintainya juga aku tidak. Aku lebih mencintai Sally. Sally model kaki panjang yang aku begitu puja-puja. Bertubuh langsing dan seksi orangnya serta cantik juga. Berbeza sekali dengan Balqis. Balqis seorang gadis yang terlalu mulia mungkin. Mana layak untuk digandingkan dengan diriku. Balqis dan Sally ternyata jauh bezanya.
            Balqis, pakaiannya sopan sejuk hati memandang. Suaranya lunak dan sederhana berbeza dengan Sally yang kelihatan suaranya agak menggedik. Balqis tidak pandai bergaya seperti Sally. Ya, semua yang terdapat pada Balqis semuanya tidak kena dimata aku. Aku begitu membencinya. Bagi aku, kerana dialah aku tidak berpeluang untuk memperkenalkan Sally kepada orang tuaku. Alangkah ruginya aku ketika itu kerna tidak tahu untuk menilai yang mana madu dan yang mana juga racun.
            Perkahwinan antara aku dan Balqis tetap juga dilaksanakan. Papa langsung tidak mahu mendengar penjelasanku. Bersuara beerti meningkah. Mama juga hanya mengiyakan sahaja. Sakitnya hati aku ketika itu hanya aku yang tahu. Ingin sahaja aku lari ketika majlis perkahwinan itu berlangsung. Tetapi, kerna mengenangkan papa. Aku tidak sanggup. Mana mungkin aku akan sanggup mencemarkan maruah keluarga kami. Aku masih waras. Keluarga kami punya syarikat perniagaan yang maju. Maka itu, aku harus menjaga nama baik papa.


            Bermula dari hari itu, kehidupan Balqis bersamaku tidak pernah bahagia. Aku sering sahaja berusaha untuk menyakiti hati dia. Aku berharap semoga dia meminta aku melepaskan dia. Tetapi sayang, segala perlakuanku terhadap dia tidak pernah menggugat kesabarannya. Balqis wanita yang tabah. Setiap malam, aku akan keluar berhibur ke kelab malam. Balqis pula aku tinggalkan keseorangan di rumah. Aku lebih senang berkunjung ke kelab malam untuk berhibur dengan teman wanitaku Sally. Ternyata cintaku terhadap Sally tidak dapat dilunturkan meskipun status aku pada masa itu bergelar suami orang. Apabila aku pulang ke rumah, Balqis akan sering berkata, “abang dah makan? Dah minum?”. Balqis tidak pernah jemu untuk mengambil berat perihal diriku. Sedangkan diriku langsung tidak mengambil tahu perihal dia. Ya Allah, ampunilah aku....sungguh ini semua adalah khilafku....
            Pernah sekali apabila aku sedang berbual dengan teman wanitaku di telefon. Ketika itu Balqis berniat ingin bermanja denganku. Lalu dengan perlahan Balqis ingin menyuapkan sesudu nasi mulutku. Belum sempat nasi hinggap ke mulutku, dengan sengaja aku menampar wajahnya. Pinggan yang berisi nasi ku ambil lalu aku taburkan ke kepalanya. Aku betul-betul marah pada ketika itu. Bagiku, tangan Balqis langsung tidak layak untuk memperlakukan aku seperti itu. Nasi yang bertaburan di lantai tetap dikutip Balqis sambil airmatanya tidak berhenti-henti mengalir. Aku tahu, Balqis terluka dengan tindakanku. Namun aku senang. Aku suka melihat Balqis terseksa. Biar dia rasakan bagaimana sakitnya hatiku ketika itu.
            Apabila orang tuaku datang melawat ke rumah kami. Aku akan berpura-pura melayan Balqis dengan baik. Seolah-olah kami berada dalam keadaan yang sangat mesra. Balqis pula tidak pernah wajahnya pudar dari senyuman. Dia kelihatan bahagia pada ketika aku melayan dia dengan baik padahal apa yang aku lakukan padanya hanyalah lakonan semata-mata. Apabila papa dan mama tiada aku mula menjadi harimau di hadapan Balqis. Aku pukul Balqis kerana berlebih-lebih dihadapan orang tuaku. Kasihan Balqis. Tangis dan rayuannya langsung aku tidak hiraukan. Kadang-kadang sampai lebam badan dia akibat teruk dipukul aku.
            Sehinggalah suatu ketika aku terlibat dalam kemalangan jalan raya. Bahagian tubuhku iaitu dari pinggang hingga ke kaki cedera teruk. Pada ketika itu, baru aku sedar siapa sebenarnya terbaik untuk diriku. Antara Sally model kaki panjang dan Balqis yang tidak tahu bergaya......

            Ya Allah, betapa menyesalnya aku memperlakukan Balqis sedemikian. Ketika aku sakit,Balqis begitu setia menjagaku. Makan dan minumku semua diatur oleh Balqis. Demi aku, Balqis sanggup berjaga malam apabila mendengar aku bersungut atau merengek. Perlakuanku ketika itu persis seperti anak kecil. Pergelangan tangan Balqis juga kemerahan serta kebiruan akibat digenggam aku. Semuanya gara-gara aku menahan sakit apabila kakiku disapu ubat. Mengalir airmataku apabila melihat pengorbanan Balqis. Sungguh dia wanita tabah. Baru aku sedar cinta Balqis terhadapku sememangnya tulus dan suci. Pernah aku bermuhasabah sendiri. Aku tanyakan kepada diriku sendiri. Mana Sally ketika aku sedang terlantar sakit? Tidak mahukah dia menjengukaku yang sakit? Aku bermonolog sendiri.
            Lalu aku hubungi Sally. Betapa hancurnya hati aku mendengar kata-kata Sally. Katanya aku ini suami orang dan dia tidak mahu merampas kebahagiaan orang lain. Habis? Selama ini kebahagiaan siapa yang dia ambil? Kenapa baru sekarang sedar yang aku ini sudah bergelar suami orang. Sungguh hebat sandiwaramu terhadapku Sally. Mentang-mentang aku sakit dan tidak berdaya, kau sanggup tinggalkan aku. Dasar perempuan jalang!
            Hampir dekat setahun Balqis menjagaku. Akhirnya dengan izin Allah aku sembuh dari penyakit yang aku hidapi. Aku kembali menghadapi hariku dengan normal. Aku lega kerana Allah memberi aku peluang kedua untuk hidup. Kalau Allah menarik nyawaku ketika kemalangan, pasti pintu hidayah tidak akan terbuka luas untukku. Aku cuba untuk menyayangi dan menimbulkan bibit cinta dihatiku terhadap Balqis. Semakin hari, perasaan sayangku terhadap Balqis kian bertambah. Alngkah indahnya apabila bercinta selepas nikah.
            Namun, kebahagiaan itu hanya sebentar sahaja. Ketika aku sedang sibuk bekerja, aku dikejutkan dengan berita yang memberitahu Balqis pengsan di rumah. Aku segera membawa Balqis ke hospital. Keadaannya amat lemah sekali. Wajahnya pucat dan lesu. Lututku pula terasa hendak jatuh apabila doktor pula mengkhabarkan yang Balqis telah lama menghidap penyakit barah otak. Kata doktor mungkin berpunca dari sebuah gegaran yang kecil sehingga menyebabkan darahnya banyak berkumpul dibahagian kepala.



Mendengar pernyataan dari doktor, aku menangis sepuas hatiku. Aku berasa begitu bersalah terhadap Balqis. Aku pernah memukul dan menghentakkan kepalanya ke dinding apabila pulang ke rumah dalam keadaan mabuk. Perlakuanku ketika itu tidak terkawal. Itulah akibatnya apabila nafsu bermaharajalela.
Ibu dan ayah mertuaku datang menjenguk keadaan Balqis. Papa dan Mama juga turut datang. Tidak lupa mereka juga memberi kata-kata semangat terhadapku. Setiap hari aku sedia menemani Balqis di hospital. Ahli keluarga Balqis yang melihat kesetiaan aku terhadap Balqis mengatakan bahawa Balqis beruntung kerana mempunyai suami seperti aku. Kata mereka aku suami yang baik. Pernyataan mereka membuatkan aku seolah-olah dimakan sumpah. Kalau mereka tahu apa yang pernah aku buat kepada Balqis, pasti mereka akan mengutuk aku. Namun sudah suratan. Mungkin juga Allah ingin menutup aibku.
Sehinggalah suatu hari, keadaan Balqis semakin lemah dan nazak. Aku tidak sanggup rasanya untuk menghadapi saat itu. Tangan Balqis ku genggam erat. Dahi Balqis ku kucup perlahan. Sungguh aku tidak sanggup untuk kehilangan Balqis. Meskipun demikian, Balqis tetap mengukirkan senyuman. Senyumannya pada ketika itu terlalu manis sekali. Sesiapa yang melihat pasti akan muncul rasa ketenangan di hati masinh-masing. Subhanallah. Sememangnya wanittabah dan isteri solehah seperti dia akan selalu berada dalam rahmat Allah. Sebelum menghembuskan nafas yang terakhir, Balqis sempat menyerahkan kepadaku sepucuk surat dan berpesan kepadaku merelakan kepergiaannya. Aku iringi Balqis untuk melafazkan 2 kalimah syahadat dan dengan izin Allah, Balqis dapat menyebut kalimah syahadat tersebut dengan lancar. Sejurus selepas mengucap, Balqis pun pergi menghadap ilahi.
Akhirnya aku terkulai pengsan disisi jenazah Balqis. Kini sudah 3 bulan Balqis pergi meninggalkan aku. Setiap hari aku akan pergi menziarahi pusara Balqis. Sungguh aku begitu merindui dia. Baru hari ini juga aku berpeluang membaca surat pemberian terakhir arwah isteriku. Selama ini aku tidak pernah membuka warkah tersebut. Fikiranku hanya pada Balqis. Seolah-olah Balqis juga turut membawa semangatku pergi.



Assalamualaikum abang,
            Mungkin saat abang membaca warkah terakhir dari Balqis, Balqis sudah tiada lagi di dunia ini. Maafkan Balqis abang. Bukan niat Balqis ingin menipu abang. Sungguh Balqis tidak ingin melihat abang berduka.Maka dari itu, lebih baik Balqis merahsiakan perihal penyakit Balqis. Abang, Balqis mungkin bukan isteri yang baik buat abang. Tetapi percayalah, saat pertama kali Balqis terpandang wajah abang, Balqis mula jatuh hati terhadap abang. Sumpah demi Allah, Balqis ikhlas mencintai abang. Meskipun hanya sekejap merasai kebahagiaan bersama abang, Balqis bersyukur kerana diberi peluang untuk merasai bagaimana kasih sayang dari seorang suami. Abang, relakanlah kepergian Balqis. Insyaallah jika diizinkan, kita pasti akan bertemu jua di syurga kelak. Ameen. Abang, jika hati dan perasaan abang masih gundah-gulana, abang carilah Ustaz atau Ustazah. Abang luahkan pada mereka tentang apa yang abang rasa. Balqis yakin mereka mampu memberikan kata-kata semangat kepada abang....
Isterimu
Nur Balqis
OLEH : SHIMA 6AD