JellyPages.com

Khamis, 11 Julai 2013

Taman Kesenangan

TAMAN KESENANGAN
“Eh, Shima. Awal bangun pagi ni. Selalunya kena dikejutkan dulu baru nak bangun.” Aku hanya tersenyum lebar. Memang benar kata ibu. Selalunya aku perlu dikejutkan baru hendak bangun. Tetapi pagi ini lain pula. Maklumlah, hari ini aku bakal memasuki alam persekolahan lagi. Aku terlalu rindukan alam persekolahan setelah 3 bulan bercuti. Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia(SPM) yang aku hadapi tahun lepas amat telah melayakkan diri aku untuk menyambung pelajaran hingga ke tingkatan 6. Aku bersyukur kerana impian aku untuk menyambung pelajaran ke peringkat tingkatan 6 telah tercapai. Teman- teman aku yang lain kebanyakkan tidak mahu masuk ke tingkatan 6. Kata mereka, tingkatan 6 ini leceh. Kena pakai baju seragam sekolah. Namun semua tomahan mereka tentang tingkatan 6 aku diamkan sahaja.
Ini kehendak dan kemahuan aku sendiri. Biarlah aku yang menentukannya. Semua ini demi masa depan aku. Ibu dan ayah juga tidak menghalang atau membantah kemahuanku. Malah mereka menggalakkan. Mereka kenal benar dengan sikap aku. Perkara inilah yang menyebabkan aku sayang sangat-sangat pada mereka.
“Ala, ibu ni. Semangat nak sekolah balik ni kuat tau ibu. Tapi ibu, Shima bingung ni. Shima terlewat seminggu nak mendaftar ni. Agak-agak orentasi mesti dah habis. Lagipun Shima belum ada kawan di sekolah tu. Huhu.” Kegusaran yang aku rasakan aku luahkan pada ibu. Ibu hanya menggelengkan kepala.
“Shima, jangan risaulah. Ibu yakin pasti akan ada seorang hamba Allah yang baik hati akan tolong anak ibu ni. Percayalah cakap ibu ya sayang.” Kata ibu cuba untuk menghilangkan kerisauan yang aku alami sekarang. Aku lega mendengar kata-kata ibu. Mungkin apa yang ibu katakan benar. Tiada apa yang perlu aku risaukan. Selepas bersarapan aku segera meminta keizinan dari ibu untuk berangkat ke sekolah. Sekolah baru!
●●●●●●
            Tingkatan 6RD. Itulah nama kelas baharuku. Aku berpusing-pusing mencari tapak kelas 6RD. Tidak dinafikan aku memang agak berdebar-debar dengan keadaan sekolah baruku ini. Aku memandang ke sekeliling sekolah. Besar juga sekolah ni. Luas kawasannya. Blok Tingkatan 6. Tiba-tiba aku terpandang papan tanda tersebut. Aku tersenyum lebar. Akhirnya aku jumpa juga kelas yang aku nak masuk. Aku terus masuk ke blok kelas kawasan tersebut. Aku langsung tidak melihat nama kelas yang aku masuk tersebut sama ada 6RD atau sebaliknya. Semua mata memandang ke arah aku. Mereka nampak kehairanan. Melihat mereka memandang aku sedemikian, jantung aku mula berdegup-degup.
            Ada satu tempat kosong. Aku terus meluru ke arah tempat itu. Budak lelaki yang duduk disebelah tempat kosong itu menggaru-garukan kepalanya. Dahiku berkerut memandangnya. Fikirku mungkin dia mahu berkenalan denganku. “Hai, nama orang Shima. Nama awak siapa?” Tanya aku bagi memulakan perbualan. “Fararidwan.”Jawabnya ringkas. Tiba-tiba cikgu Chong Siaw Chee datang ke kelas itu. Matanya membulat memandang ke arahku.
            “Saya rasa kamu salah kelas. Kamu pelajar baru yang bernama Nur Shima kan?” tanya cikgu Chong Siaw Chee. Aku mengangguk. Wajahku mula kemerah-merahan menahan malu. Baru aku perasan kelas yang aku masuk ni bukan kelas 6RD tetapi kelas 6RE/F. Maluku bukan kepalang. Pelajar lain ku lihat seperti tersenyum sinis kepadaku.
            “Ha, datang pun awak Firdaus. Ini pelajar baru di sekolah ini. Dia sepatutnya masuk kelas 6RD. Tetapi dia termasuk kelas 6RE/F dan duduk ditempat awak.”Jelas cikgu Chong Siaw Chee. Kelihatan seorang budak lelaki menggalas beg. Aku kehairanan kerana cikgu langsung tidak memarahi dia kerana lambat masuk ke kelas. Teringat aku pada sekolah lamaku dulu. Terlewat dua minit pun akan didenda. Cikgu mengarahkan budak itu agar menghantar aku kelas yang sepatutnya. Maluku masih menggunung tingginya!
●●●●●●
            “Nama siapa tadi?” Budak lelaki itu menyapaku. Namun aku tidak menjawab. Sebenarnya aku masih teringat peristiwa tadi. Baru hari pertama masuk sekolah baru sudah buat hal. Aku tersenyum sendiri mengingat peristiwa tersebut.
            “Senyum pulak dia. Nama awak apa ye saudari?” Aku terkejut apabila ditanya sekali lagi oleh budak lelaki itu. Aku senyum malu-malu.
            “Nama?? Hehe.. Nur Shima.” Aku menjawab sambil gelak-gelak untuk menutup maluku yang semakin menebal.
            “Hem, cantik nama tu. Macam artis. Unik. Maksudnya Yang Berperibadi kan? Tanya dia lagi. Aku mengangguk tanda mengiyakan jawapannya.
            “Hem, betullah tu. Bak kata ibu, nama menggambarkan sesuatu. Nama yang baik dipilih kepada anak dengan harapan anak akan menjadi sebaik nama yang diberikan. Macam orang ni, Nur Shima maksudnya Yang Berperibadi. Ibu mengharapkan agar orang ni dapat menjadi orang yang mempunyai peribadi mulia supaya ibu dan ayah senang untuk masuk syurga dan orang akan berusaha untuk membentuk peribadi yang baik supaya ibu dan ayah senang untuk masuk syurga.” Banyak pula syarahan aku terhadap lelaki ini. Sedangkan aku tak kenal siapa pun dia.
            “Err, siapa yang awak maksudkan orang tu??” Lelaki itu kelihatan pelik mendengar patah bicaraku.
            “Hehe, orang itu maknanya saya la. Saya tak tahu nak bahasakan diri saya macam mana. Jadi gunakan ‘orang’ kan senang. Memang selalu begini bila saya cakap dengan orang yang belum saya kenal. Nak bahasakan diri ini ‘aku’ rasa mcam kurang sopan pula. Dengan kawan yang dah kenal tak apa pulak. Tapi, kalau nak bahasakan diri ‘saya’, rasa pelik pula. Macam baik sangat pula.” Aku menerangkan. Memang begitu bahasa yang aku gunakan apabila bercakap dengan orang yang tidak aku kenali. Lelaki itu ketawa mendengar kata-kata aku. Apa yang peliknya. Aku pula yang aneh melihatnya.
            “Kenapa gelak? Betul la apa yang orang cakap tadi. Apa yang peliknya atau apa yang lucunya sehingga membuat awak sampai gelak begini.” Tanyaku seakan marah. Tetapi sebenarnya aku tidak marah. Aku hanya kebingungan sedikit.
            “Maksudnya awak tak kenal saya lagi la ye,” Dia bertanya. Aku sekadar mengangguk dan tersenyum.
            “Inilah kelas 6RD. Masuklah. Lain kali jangan salah kelas masuk kelas lagi tau. Hehe. Gurau je.”
            “Hehe. Terima kasih ya sebab sudi jadi pemandu pelancong saya hari ni ye. Eh, sebelum tu, siapa nama?” sempat lagi aku bergurau kepadanya.
            “Taman Kesenangan. Tempat Adam dan Hawa.” Jawabnya ringkas. Dia melangkah pergi meninggalkan aku yang termangu-mangu mendengar jawapan darinya. Taman Kesenangan? Tempat Adam dan Hawa? Apa tu? Aku masih kebingungan memikirkan kata-kata budak lelaki itu tadi.  Ah! Sudahlah! Lupakan sahaja.
            Tapi kenapa aku masih mengingati tentang diri budak itu. Senyumannya. Kata-katanya. Jangan kata kau dah jatuh cinta Nur Shima. Kau masih belajar. Bukan masanya lagi untuk kau bercinta. FOKUS! FOKUS!FOKUS! Tapi kenapa dia jawab macam tu? Aku tanya nama dia. Tapi dia jawab lain. Mungkin dia salah dengar kot, sebab tu jawab lain. Aduh, pening kepala aku dibuatnya. Aku pula runsing dibuatnya. Em, nanti aku tanya ibu. Lelaki ini terlalu berteka teki. Tidak mengapa. Ibu pasti ada jawapan untuk teka teki itu.
●●●●●●
            “Ibu, Taman Kesenangan tu apa ya? Tempat Adam dan Hawa.” Tanyaku pada ibu. Aku memang rapat dengan ibu. Semua masalah akan aku luah pada ibu.
            “Ha, anak ibu ni dah pandai bercinta ya? Siapa sebut Adam dan Hawa. Apa tadi? Taman kesenangan ya?” Ibu mula mengusik aku.
            “Bukan la ibu. Bukankah tadi Shima dah cerita pasal yang Shima salah masuk kelas tadi. Lelaki yang hantar Shima tu pelik. Bila Shima tanya nama dia, dia terus jawab Taman Kesenangan. Apa maksudnya tu ibu...”
            “Oooo, maksudnya dia nak ajak anak ibu bersama-sama ikut dia ke taman kesenangan. Taman kesenangan tu bukan senang kita nak masuk. Hanya orang yang beriman kepada Allah sahaja yang layak masuk.”
            “Ibu ni, orang tanya betul-betul tau. Ibu ni main-main la.” Aku memuncungkan mulut. Konon merajuk.
            “Ok sayang. Taman Kesenangan yang ibu maksudkan tadi adalah Syurga. Bukankah hanya orang yang beriman sahaja yang berhak masuk ke dalam Syurga. Syurga Firdaus. Syurga tertinggi. Indahnya tak terbayang dimata. Tak terjangkau difikiran.” Ibu menerangkan padaku.
            “Firdaus!” spontan mulutku menyebut perkataan itu. Mungkinkah namanya Firdaus? Mungkinkah?
            Aku mencium tangan ibu tanda berterima kasih kepadanya kerana telah berjaya menyelesaikan satu masalah yang aku hadapi. Betul. Perkataan itu yang aku cari-cari. Nama itu memang cocok sekali dengan perwatakannya yang aku analisis dalam waktu yang singkat cuma.
●●●●●●
            Aku berdiri dihadapan kelas 6RE/F. Entah mengapa aku berdiri disitu. Aku pun tidak tahu. Aku mencari-cari kelibatnya namun tidak kelihatan. Mungkin dia datang lewat lagi. Semakin ramai pelajar yang datang. Aku jadi malu kerana beberapa mata memerhatikan aku.
            “Assalamualaikum, saudari. Cari siapa?” Satu suara menyapaku. Aku tersentak seketika. Mencari jawapan untuk diberikan kepada yang bertanya itu.
            “Waalaikumussalam, err... tumpang tanya. Dalam kelas ni ada tak pelajar yang bernama Firdaus?” Aku mengambil kesempatan untuk bertanya. Mungkin saja dia kenal.
            “Firdaus yang mana? Mohd Firdaus ke? Kenapa? Awak cari dia ke?” Banyak juga tanya perempuan itu terhadapku. Aku hanya menggangguk mengiyakan katanya. Sebenarnya aku tidak tahu nama penuh budak yang menghantar aku semalam.
            “Sekarang ni mungkin dia tak masuk lagi. Sekejap lagi dia masuk. Dia selalunya bertugas dipagar sekolah. Eh, awak ni yang salah masuk kelas semalamkan?” Sekali lagi aku mengangguk sambil tersenyum kelat. Aku jadi malu apabila diungkit lagi hal yang memalukan. Budak itu juga sempat memperkenalkan namanya sebagai Umi Wahidah. Cantik dan manis orangnya.
            “Tak apalah.” Jawabku kecewa kerana hajatku ingin bertemu dengannya tidak kesampaian.
            Keadaan agak asing bagiku. Sekolah ini kebanyakkan majoriti pelajar Melanau. Tetapi peratusan kecilnya pula adalah kaum Melayu. Di sekolah lamaku kebanyakkannya adalah pelajar Cina. Tetapi bagus juga sekolah ini. Aku dapat rasakan semangat muhibbah yang lahir dalam diri setiap pelajar. Aku juga dapat melihat persaingan yang wujud untuk belajar dengan lebih bersungguh-sungguh. Bukan seperti disekolah lamaku, kebanyakkan pelajarnya hanya main-main kerana tiada semangat untuk bersaing dalam pelajaran. Hanya pandai bersaing dalam merebut cinta. Cinta monyet yang tak berkesudahan.
●●●●●●
            Aku berjalan menuju ke kantin. Jauh juga kantinnya. Aku sebenarnya tidak begitu suka untuk makan semasa waktu rehat. Waktu rehat yang singkat membuatkan aku jadi terburu-buru untuk kembali ke kelas. Tapi, biarlah aku ubah perangaiku ini disekolah ini.
            “Cari abang ke tadi?” Tiba-tiba satu suara menyapaku. Abang? Bila masa pula aku ada abang kat sekolah ni. Aku terus memalingkan muka ke arah suara yang memanggil aku tadi. Taman Kesenangan?
            “Shima cari abang ke tadi? Maaflah. Tadi abang bertugas jaga pagar. Sekolah ni kalau tak dijaga makin ramailah yang datang lewat.” Katanya lagi. Aku hanya tersenyum.
            “Orang dah tahu siapa nama awak? Mohd Firdaus kan?” Apa kena dengan aku ni. Sepatutnya aku cakap lain tapi sebut pasal nama pulak. Mabuk ke apa aku ni.
            “Mana tahu ni...Siapa yang cakap?” tanyanya sambil mengenyitkan matanya. Entah apa maksudnya aku sendiri pun tak tahu. Dia sekadar tersengih-sengih macam kerang busuk. Aku melihat tanda namanya. Memang nama dia Mohd Firdaus. Kenapalah aku tak tengok semalam.
            “Betullah tu Shima. Semalam Shima cakap pilih nama yang baik untuk anak supaya jadi sebaik nama yang diberikan. Hari ni biar abang pulak yang keluarkan hadis. Boleh?” katanya.
            “Ok.” Jawabku ringkas. Nampaknya lelaki ini mudah mesra. Aku jadi selesa begini walaupun aku tidak biasa apabila dia membahsakan dirinya sebagai ‘abang’. Biarlah... Dia punya hak untuk berkata apa sahaja. Kami lahir tahun yang sama. Mungkin juga dia tua beberapa bulan sebelum aku.
            “Dengar ni. Sabda Rasulullah: "Di antara kewajipan ayah kepada anaknya ialah mendidiknya baik- baik dan memberi nama yang baik." Berdasarkan hadis ni, jelaslah bahawa kita sebagai umat Nabi Muhammad seharusnya memilih nama yang baik kepada anak serta mendidiknya dengan ajaran Islam dengan sebaik mungkin. Betul tak?" ujarnya dengan jelas.
            “Betul sangatlah tu. Ni mesti dah cari semua kitab kat rumah....kan” kataku ingin mengusiknya.
            “Hahahaha.” Berderai ketawanya mencecah kuping telingaku.
            "Tu dah tahap hina abang. Abang memang tahu la hadis tu." Jawabnya cuba untuk mempertahankan hujahnya.
            "Kalau macam tu, bagi sebab kenapa ibu dan ayah bagi nama Mohd Firdaus?," aku mencabarnya. Dahinya berkerut. Mungkin berusaha untuk mencari jawapan yang bakal diberikan kepada aku.
"Nak tahu sebabnya. Sebab nak ajak Shima bersama-sama melayari taman kesenangan bersama abang. Kita berusaha untuk membina taman di syurga Firdaus. Nak tak?" katanya sambil mengenyitkan matanya lagi. Mengada-ngada! Getus hati kecilku. Lelaki ini memang pandai menutur kata sehingga aku sendiri terjerat dengan bicaranya. Bukan aku perasan, cuma aku aku tidak biasa dengan kata-kata seperti itu.
"Marah ke abang cakap macam tu?" dia bertanya lagi apabila melihat wajahku yang tampak kebingungan.
" Tak de la," aku cuba menafikan tekaannya.
" Habis tu Shima setuju la kan?" aku bingung sebentar.
" Setuju apa?" tanyaku menggelabah.
“Setuju untuk ikut abang melayari taman kesenangan. Meraih syurga Firdaus bersama abang. Tetapi Shima kenalah berusaha untuk menjaga peribadi agar mudah untuk kita masuk syurga bersama-sama. Abang nak kita bersama hingga syurga.” Ujarnya dengan panjang lebar. What? Mataku membulat memandang wajahnya. Dia hanya tersenyum. Seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku.
Aduh hati..kenapa kau berdegup kencang ni. Dia cuma main-main. Jangan jatuh hati pada dia. Nur Shima, kau masih tak kenal dia. Entah-entah dia ni kasanova. Suka permainkan perempuan. Entah dah berapa puluh orang yang dia pernah cakap macam ni. Ingat tujuan sebenar kau datang sekolah ni. Bukan untuk bercinta tapi untuk belajar.
"Orang tanya kenapa ibu dan ayah bagi nama Mohd Firdaus." Sengaja aku tegaskan kata-kataku. Aku tidak mahu lemas dalam mainan kata-katanya yang manis dan senyumannya yang menggoda.
"Ye la. Abang jawab betul-betul. Nama abang, Shima dah tahu kan. Maksudnya Syurga Firdaus Syurga tertinggi. Abang tak pandaila nak terangkan macam Shima semalam. Nama abang ni ibu dan ayah pilih supaya abang menjadi insan yang punya hati dan perasaan yang baik kepada semua orang. Supaya abang dapat membawa orang yang disayangi untuk ke syurga Firdaus bukan hanya kepada perempuan yang abang cintai tetapi juga kepada ALLAH yang mencipta abang. Juga kepada keluarga yang sentiasa menyayangi abang. Semoga abang akan bertemu dengan orang yang mempunyai peribadi elok yang boleh menjadi pendamping sepanjang hidup abang yang dah tak lama ni,"
            Pandainya dia bersyarah. Aku terpaku mendengar kata-katanya yang matang. Memang ciri-ciri seorang anak yang soleh.
"Shima, abang nak pergi pusat sumber. Shima nak pergi mana ni," sudah bercakap banyak-banyak baru nak tanya aku nak pergi mana.
"Orang nak pergi kantin," jawabku bersahaja.
"Kenapa tak cakap. Kantin dah terlepas. Shima tahu ke kat mana kantin?" dia memandang tepat ke arah wajahku.
"Hehe. Tak tahu," aku gelak. Memang aku tidak tahu tapi malu pula mahu bertanya. Sekarang baru betul bak kata pepatah ‘malu bertanya sesat jalan’. Aku dah tersalah jalan untuk ke kantin.
"Tak pela. Abang tunjukkan. Lain kali kalau tak tahu tanya. Jangan diam dan layan apa abang cakap. Abang ni kalau dah bercakap memang payah nak berhenti." Dia menunjukkan jalan ke arah kantin.
"Terima kasih"
"Shima, jangan lupa soalan abang tadi tau" dia terus pergi. Sekali lagi aku ditinggalkan dengan pertanyaan tanpa jawapan. Lelaki ini memang suka membiarkan aku dalam tanda tanya.
●●●●●
Setahun berlalu...
Kini setahun bertahun lebih aku belajar disekolah baru ini. Selama itu aku belajar disekolah ini, selama itu jugalah tempoh perkenalan aku dengan Firdaus. Hubungan kami semakin rapat apabila Firdaus mengambil keputusan untuk berpindah dari kelas Sains untuk masuk sekelas dengan aku. Tidak aku sangka dia sanggup menukar jurusan yang diambil semata-mata ingin dekat denganku. Katanya ingin menjaga aku. Takut aku dibuli atau diganggu orang. Selama perkenalan aku dan Firdaus, aku dapat merasakan sebuah kebahagiaan yang indah sekali. Namun tidak pernah sekali pun aku nyatakan padanya tentang perasaanku. Aku sekadar baik dengannya dan berbicara hanya tentang perkara yang biasa-biasa sahaja.
Aku tidak pernah merasa begitu dihargai. Setiap hari, dia akan memberikan aku buah epal. Dia akan datang awal dan meletakkan buah epal di bawah mejaku. Mulanya aku takut juga untuk memakan epal itu. Aku ceritakan perihal epal itu kepada Fararidwan sahabat baik kepada Firdaus, dan ternyata dia hanya ketawa padaku. Dia katakan bahawa epal itu datangnya dari seorang putera yang inginkan aku. Setelah dia merapu dengan berbagai-bagai cerita, barulah dia mengaku bahawa Firdauslah yang setiap hari meletakkan epal di bawah mejaku. Firdaus memang suka mempermainkan aku. Apabila aku serius, dia akan bergurau lantas membuatkan aku tertawa.Tapi, apabila dia serius membincangkan sesuatu hal, aku sendiri tidak berani untuk berkata apa-apa. Memang pantaslah jika dia dilantik menjadi ketua murid.


Pernah aku membandingkan diriku yang hanya pelajar baru di Sekolah Menegah Three Rivers dan tidak layak berdampingan dengannya, dia sekadar tersenyum. Lantas dia tegaskan padaku semua perkara itu tidak penting. Katanya dia sanggup meletakkan jawatannya sebagai ketua murid jika dengan cara itu aku akan sudi berkawan dengannya. Aku cabar dia. Namun dia sebenarnya tidak berani melakukan semua itu. Katanya, dia hanya akan lakukannya andai kau sanggup mengaku di hadapan perhimpunan bahawa akulah kekasihnya. Gila. Takkan aku lakukan perkara sebodoh itu. Tiap kali aku teringat kejadian itu, pasti bibirku menguntum senyum.
Pernah aku fikirkan semua perasaan ini hanya sementara. Semuanya hanya dorongan nafsu remaja. Sekadar mainan hati yang hanya ingin mencuba. Seperti yang aku sering dengar. Semasa usia remaja, semuanya nampak indah. Darah muda yang inginkan kelainan. Itulah sebabnya seringkali perkara negatif yang terjadi dewasa ini dikaitkan dengan perilaku remaja. Mohon aku dijauhkan dari anasir-anasir sedemikian rupa. Juga aku memohon agar perasaanku pada Firdaus adalah benar dan bukan main-main.
Suatu hari, aku dipanggil oleh ustazah Rosenani. Aku ditanya tentang Firdaus. Lebih tepat lagi tentang keakraban aku dengan Firdaus. Aku takut. Aku tidak biasa dengan ustazah Rosenani. Walaupun dia guru kaunseling dan intonasi bicaranya denganku tidaklah setegas mana, tapi aku tidak nafikan ketakutan serta malu menyelubungiku. Takut kerana tidak pernah dipanggil oleh guru kaunseling ini . Malu kerana aku dipanggil atas sebab keakraban aku dengan lelaki yakni Firdaus. Ustazah Rosenani memberitahuku bahawa dalam kondisi aku sebagai pelajar, seharusnya perhatianku mestilah seratus peratus kepada pelajaran bukanlah pada cinta. Ustazah Rosenani juga mengingatkan kepadaku dan Firdaus akan menghadapi peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia tidak lama lagi. Peperiksaan besar yang akan mencorakkan masa depannya. Ustazah Rosenani tidak lupa mengingatkan aku tentang batas-batas pergaulan dalam Islam.
 Mulanya aku terasa marah juga apabila ustazah Rosenani memanggilku hanya kerana ingin mengingatkan aku tentang itu. Aku bukannya berbuat perkara tidak senonoh dengan Firdaus. Hanya sekadar selalu berjumpa dan berbicara soal kehidupan masing-masing. Aku sama sekali tidak pernah berterus terang tentang perasaanku terhadapnya. Kami cuma akrab sekadar kawan walaupun dalam hatiku terselit sekelumit rasa sayang yang mula bertapak. Salahkah andai aku sayangkan dirinya. Seingatku, aku tidak pernah pegang tangan Firdaus atau lebih dari itu. Firdaus juga sama. Dia jelas-jelas memang menghormatiku. Tapi aku sedar, perbuatanku menimbulkan fitnah. Aku dan Firdaus yang menyebabkan fitnah itu. Banyak mata yang memandang perbuatan kami. Setelah aku muhasabah diri, barulah aku sedar sebenarnya ALLAH sayangkanku. Lantas diilhamkanNYA ustazah Rosenani untuk menasihatiku. Terima kasih Ya ALLAH. Terima kasih ustazah Rosenani kerana menasihatiku.
Sebenarnya Firdaus juga dipanggil oleh ustazah Rosenani. Dia diingatkan tentang jawatannya sebagai ketua murid yang akan menjadi contoh kepada murid-murid lain. Jika dia tidak menunjukkan disiplin serta perangai yang baik, maka tidak hairan jika pelajar lain juga akan turut sama melakukan kesalahan yang sama. Setelah kejadian itu, aku semakin menyibukkan diriku dengan buku-buku. Juga aku pesan kepada Firdaus yang aku hanya akan berbicara dengannya apabila ada perkara penting sahaja. Firdaus juga kuingatkan agar memberi perhatian kepada pelajaran. Biarlah kami sama-sama mengejar cita-cita dahulu sebelum cinta. Masih segar dalam ingatanku kata-kata ustazah Rosenani yang aku rasakan amat dalam maksudnya. Terlalu dalam sehingga mampu menusuk hatiku yang kecil ini. Allahhuakhbar............


"Andai benar Firdaus diciptakan untuk awak, dia pasti tidak akan kemana. Percayalah, takdir awak telah ditulis olehNYA dan apabila tiba masanya awak akan bersatu dengan Firdaus, pasti awak akan bersatu juga seperti Nabi Adam dan Hawa, Nabi Yusuf dan Zulaikha dan sepertimana Nabi Muhammad SAW dengan Siti Khadijah. Hanya takdir dan masa yang akan menentukan segalanya. Sabarlah. Buat masa ini, ustazah nak awak belajar. Bukan masanya lagi awak fikirkan soal itu. Jika awak gagal dalam pertarungan untuk mencari ilmu, pastinya awak akan kecewakan hati orang-orang yang sayangkan awak khususnya keluarga awak yang dah habiskan berapa banyak wang untuk sekolahkan awak. Awak juga akan menyesal kerana masa serta umur awak dihabiskan dengan perkara sia-sia.
Ingat maksud surah Al-Asr:
Demi masa, sesungguhnya manusia itu dalam kerugian kecuali yang berpesan dengan kebenaran dan kesabaran
"Awak pelajar bijak. Sekarang ustazah berpesan dengan kebenaran dan kesabaran agar awak dapat fikirkan dengan sebaiknya tentang kepentingan masa dan alangkah ruginya andai masa awak dihabiskan dengan perkara yang sia-sia. Tidak salah awak nak sayangkan seseorang, tapi janganlah kerana itu, awak lakukan perkara yang akan merugikan. Kerana dalam surah Ar-Rum ayat 21 sendiri ALLAH telah berfirman :
Dan diantara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatnya bahawa ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki) isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, sampai kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikannya diantara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan, sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir

"Pada ketika awak serahkan cinta, cinta yang agung hanyalah cinta kepada Pencipta, iaitu cinta yang pasti dan abadi. Tetapi sebagai manusia biasa yang dianugerahkan perasaan dan naluri, ustazah tahu, kita tetap akan mengharap kasih dan cinta sesama hambaNYA. Pandai-pandailah kita dalam mencintai seseorang agar sentiasa dalam rahmat dan lingkungan cinta abadi dari Illahi." Ustazah mengusap-ngusap belakangku. Aku terasa roh persaudaraan lahir dalam sentuhan itu. Terasa air mataku panas mengalir di pipi. Memang tidak dapat dinafikan kata-kata ustazah. Semuanya telah tertulis di Luh Mahfuz. Biar masa dan takdir yang akan menentukannya. Biar bagaimana aku sayangkan Firdaus, andai bukan takdirku dengannya, aku takkan mampu berbuat apa-apa.
Setelah kami saling tidak bertegur-sapa, barulah aku sedar aku memang menyayangi Firdaus. Ternyata sukar untuk aku menumpukan kepada pelajaranku sepenuhnya. Aku sering terfikirkan Firdaus. Tapi, aku cepat-cepat hapuskan ingatan itu. Aku mahu sukses dalam pelajaranku. Juga dalam cintaku. Aku tidak mahu kerana cinta, aku kandas dalam pelajaran. Tidak sanggup rasanya aku menatap wajah ibu dan ayah andai perkara itu berlaku. Aku sayangkan Firdaus tapi aku juga sayangkan ibu dan ayah yang menjaga aku sedari kecil. Biarlah cintaku juga sukses apabila cita-citaku telah tercapai. Hidup dalam abad ini bukan sekadar cinta yang boleh dicanangkan ke sana-sini tapi juga wang. Hidup hari ini perlukan wang. Bukan aku mata duitan tapi aku tidak mahu masa depanku kelam dan susah kerana kegagalanku dalam pelajaran hari ini.



Beberapa bulan aku tidak berbual dengan Firdaus. Kami berbual kembali setelah kami masing-masing telah selesai menjalani peperiksaan. Selesai peperiksaan aku dan Firdaus langsung tidak bertemu. Hanya bila keputusan peperiksaan keluar baru kami bertemu kembali. Itupun aku berjumpa bersama dengan ibu yang menemaniku. Sengaja aku ajak ibu agar menemaniku. Semoga kami dijauhkan dari api fitnah yang sentiasa akan membakar andai ada bibir yang membawa cerita. Semoga dengan kehadiran ibu, aku serta Firdaus dapat menjaga percakapanku.
Keputusan Firdaus ternyata cemerlang. Dia memang pelajar yang pintar. Dia akan melanjutkan pelajaran di universiti luar negara. Hubungan aku dengan Firdaus tetap seperti dahulu. Tidak pula lahir sengketa antara kami. Aku masih lagi memendam perasaanku. Biarlah aku tunggu waktu yang tepat untuk kuluahkan segalanya. Firdaus juga tidak pernah menyatakan perasaan sebenarnya kepadaku. Cuma kadangkala dia terlepas cakap namun cepat dia mengalih topik dengan gurauannya. Itulah perangainya yang menambat hatiku.
Firdaus akan melanjutkan pelajaran dalam bidang agama. Katanya dia ingin menjadi seorang ustaz. Memang itulah minatnya sedari aku kenali dia lagi. Dia awal-awal sudah maklumkan padaku tentang minatnya itu. Dan aku tidak pula pernah membantah. Dia punya hak untuk berbuat apa saja dan aku sentiasa menghormati haknya. Pertemuan akhirku dengan Firdaus sebelum dia mendaftarkan diri di universiti masih kuingat. Sempat lagi dia berlawak denganku. Tapi aku percaya dia hanya bercanda.
“Shima, jaga diri baik-baik ya. Abang pergi tak lama. 6 tahun je.” Katanya sebelum hendak pergi ke Universiti Al-Azhar. Dia kata 6 tahun tak lama?? Aku hanya mengerutkan dahi mendengar kata-katanya. Aku juga ingin mengikuti dia. Tetapi keputusan peperiksaan aku amat kurang memberansangkan. Hanya sekadar ala kadar sahaja.



"Shima dengar tak apa yang abang cakap ni. Abang nak jadi ustaz. Tapi kena belajar jauh-jauh dari Shima. Abang kena belajar ilmu agama banyak-banyak supaya bila kita kahwin nanti senanglah abang nak ajar Shima macam mana meraih taman kesenangan. Shima bagi tak?"
"Tanya orang pulak. Abang yang nak kerja kenapa tanya orang pulak. Ikut suka abang la. Orang tak halang dan takkan halang," aku menjawab jujur.
"Shima ni.. Sampai bila nak bahasakan diri ‘orang’. Dah lama kita kenal. Dulu masa mula-mula kita jumpa, bolehla nak bahasakan diri ‘orang’. Sekarang dah setahun lebih kita kawan, takkan tak kenal abang lagi kot. Cubalah bahasakan diri tu sayang ke. Sejuk hati abang ni"
"Hmmm.... tak mau" aku menggelengkan kepala tanda tidak setuju. Gila! Mana mungkin aku mahu memanggilnya sayang. Nanti terasa janggal pula.
"Tengok tu. Degil. Macam mana nak cium bau syurga kalau derhaka cakap suami" Firdaus menekankan suaranya apabila menyebut perkataan suami.
"Encik Mohd Firdaus.. Sejak bila awak jadi suami saya. Cuba terangkan sikit" Aku mula geram sedikit dengannya. Tetapi sebenarnya tidaklah terlalu geram. Sekadar mengingatkannya agar tidak terlalu mengada-ngada.
"Hehehe. Silap.. Maksud abang bakal suami. Tengokla dalam 10 tahun lagi. Shima mesti kena taat pada abang tau."
"Perasannya pak cik sorang ni. Sapa nak ikut cakap dia. Belum kahwin dah nak paksa-paksa. Macam mana kalau dah kahwin nanti. Tak nak la kahwin dengan abang" aku sengaja merajuk.
"Sapa kata abang nak kahwin dengan Shima. Hahaha. Abang cakap kat itik dalam tasik tu. Shima yang perasan... Wekkk" Firdaus menudingkan jarinya ke arah itik yang berenang di tasik di hadapan kami. Aku tahu dia sengaja berkata begitu kerana ingin mengalih kata-katanya tadi.
"Ooo..cakap dengan itik rupanya. Tak pela. Pergilah kahwin dengan itik tu. Kalau abang tak kahwin dengan itik tu, siap abang. Orang tunggu je jemputan kahwin abang dengan itik tu 10 tahun lagi"
"Shima ni.. tak boleh nak melawak langsung. Ni last kita jumpa. Nanti abang nak pergi jauh tau. Dah tak boleh nak jumpa Shima lagi,"
" Ok.. bye.." ringkas sahaja aku menjawab. Aku malas hendak melayan karenah lelaki mengada-ngada ini.
"Sampai hati Shima. Cakap la elok-elok." Firdaus menarik muka masam.
"Yela.. Selamat tinggal wahai abang ku sayang. Belajar pandai-pandai. Kalau dah jumpa dengan itik yang sesuai, bolehla kenalkan dengan Shima."
"Apa Shima cakap tadi. Abang salah dengar ke Shima salah cakap?" Aku memandangnya sambil tersenyum.
"Shima cakap belajar pandai-pandai. Dengar tak?" aku seakan menjerit.
" Macam tu la sayang abang" jawabnya sambil tersengih-sengih.
Kata-kata akhir Firdaus menusuk ke kalbuku. Alangkah indahnya kata-kata itu andai memang tulus dari hatinya. Buat masa ini aku masih tidak mampu untuk meneka adakah benar apa yang lahir dari bibir Firdaus itu juga lahir dari dasar hatinya.
●●●●●
Beberapa tahun kemudian, Firdaus mendapat ijazahnya setelah bertahun-tahun berhempas-pulas menuntut ilmu. Aku juga sama. Setelah lulus dalam peperiksaan, aku melanjutkan pelajaran di sebuah universiti tempatan. Kami semakin sibuk dalam mengejar cita-cita masing-masing. Sehinggalah suatu hari secara tiba-tiba Firdaus datang ke rumah kami untuk bertemu sendiri dengan ibuku. Aku sendiri pun tidak menyangka akan kemunculannya.
"Mak cik, saya sebenarnya dah lama pendam perasaan ni. Dah lama saya sukakan anak mak cik. Saya tak tahu bila saya mula sayangkan dia, tapi yang jelas saya perlukan dia dalam hidup saya. Saya nak sunting Shima pendamping hidup saya. Saya nak kahwin dengan Shima," Aku kenal suara itu. Petang itu aku sakit kepala. Jadi aku hanya berehat di dalam bilik sahaja.
"Mak cik tak tahu nak cakap apa. Firdaus tak beritahu Shima ke pasal ni. Mak cik tak berani nak buat keputusan sebab yang nak kahwinnya kamu berdua. Bukan mak cik" ujar ibu.
"Sebenarnya saya tak ada cakap apa pun pada Shima. Saya takut dia salah anggap dan menolak saya. Jadi saya beranikan diri untuk terus beritahu mak cik" kata Firdaus.
"Macam nilah. Nanti mak cik bincang dengan Shima. Nanti kalau dia setuju, Firdaus bawaklah mak dan ayah dan rombongan datang. Jangan risau, mak cik pasti, Shima mesti setuju. Mak cik kenal anak mak cik," kata-kata ibu membuatkan aku terkejut. Ibu seperti terlalu yakin akan keputusan yang masih belum kubuat. Memanglahlah sudah lama aku mengharapkan detik ini akan tiba, namun aku mesti mengetahui adakah Firdaus benar-benar untukku.
Setelah Firdaus pulang, terus ibu bertanya perihal lamaran Firdaus. Aku tak menjawab ya atau tidak. Cuma aku minta tempoh seminggu untuk memberikan keputusan yang pasti.
Malamnya, aku mendirikan solat sunat Istikharah. Aku perlu petunjuk dari yang mencipta. Dari yang mencipta aku, Firdaus serta seluruh alam. Yang mencipta rasa sayang serta cinta. Aku tumpukan segala perhatianku dalam solat. Aku mahukan petunjuk yang sebenarnya agar aku tak salah dalam memilih pendamping masa depanku. Aku timbang semua kebaikan dan keburukan Firdaus. Keberanian Firdaus untuk bertemu dengan ibu membuatkan aku kagum. Tak pernah sekalipun dia menyatakan perasaannya secara terus denganku. Tetapi sekali dia bertindak, terus bertemu dengan ibuku. Memang seorang lelaki yang berani.
●●●●●●
            Kini hari yang ditunggu telah pun tiba. Majlis perkahwinan kami diadakan dengan meriah. Pelajar tingkatan enam bekas Sekolah Menengah Three Rivers kami jemput. Aku sempat bertemu dengan ustazah Rosenani dan dia mengucapkan tahniah. Sempat juga dia berpesan agar pandai-pandailah aku menjaga kerukunan rumahtangga yang dibina.
            Hari-hari selepas perkahwinan kami diwarnai dengan cahaya kasih sayang. Ternyata memang Firdaus seorang lelaki yang benar-benar baik. Dia terlalu baik denganku. Walaupun dia sibuk bekerja dan keletihan, senyumannya tak pernah lekang dari mataku. Alhamdulillah............. semoga hubungan ini akan terus kekal hingga kami berjaya meraih taman kesenangan bersama-sama.... In Sha Allah .........
Oleh: Shima

*Segala watak yang hadir dalam cerita ini adalah rekaan semata-mata.